Jadual Kuliah

Ahad
- Masjid Ar-Rahim
Isnin
- Masjid Kota Ayangan
Selasa

- Masjid Taqwa
Rabu
- Masjid Tudan Baru
Khamis
- Yasin - Masjid Taqwa
Jumaat
- Masjid Bayangan

Diriku

Keningau, Sabah, Malaysia

Anda Tetamu

Bulan Islam

Thursday, February 17, 2011

Kelahiran yang kedua

Kelahiran

Tepat jam 9.33 pagi sabtu 9 Rabi'ul Awwal 1432H bersamaan 12 Februari 2011 maka lahirlah anakku yang kedua. Anakku ini kunamakan Muhammad Habiburrahman. Kelahirannya yang penuh dengan kepayahan dan keperitan selepas isteriku yang dikasihi mempunyai tekanan darah yang tinggi. Hasilnya walaupun tempoh mengandung pada asalnya dijangka tamat pada 24 Februari 2011. Namun, Allah menentukan segala-galanya. Kelahiran yang kedua ini kurasakan cukup mendebarkan kerana anakku ini hanya mempunyai berat badan 1.65 kg.

Hari ini genaplah anakku berumur 7 hari. Isteriku baru semalam dibenarkan keluar dari wad tetapi terpaksa menemani anakku yang masih berada di wad Neonat kerana berat badannya yang kurang dari 1.7 kg iaitu berat badan yang ditetapkan oleh pihak Hospital. Lebih-lebih lagi dia baru disahkan mengidap demam kuning dan menerima rawatan lampu biru.

Ujian adalah ganjaran

Seperti setiap insan yang lain, aku tidak terlepas dari ujian Allah. Ujian yang kurasakan amat berat ini sebenarnya amat ringan berbanding dengan ujian-ujian yang sedang dan telah dilalui para sahabatku apabila bergelar bapa. Masih segar dalam ingatanku bagaimana sahabatku Ustaz Abdul Muien diuji dengan kelahiran anak sulungnya. Setiap hari selama 8 bulan, beliau dan isterinya terpaksa ke hospital bagi menjaga anaknya yang lahir dengan masalah usus. Cukup sedih apabila beliau menunjukkan kepada kami gambar-gambar anaknya yang dipenuhi dengan wayar. Masalahnya berakhir apabila anaknya yang diberi nama Fakhruddin itu akhirnya dijemput penciptaNya. Setiap makhluk pasti akan menemui mati.

Setiap kesusahan pasti diikuti kesenangan

Janji Allah pasti akan terlaksana. Tidak lama selepas kematian anaknya, Ustaz Abdul Muien telah dikurniakan pula seorang puteri yang dinamakan khadijah. Alhamdulillah kali ini kelahirannya sempurna dan beliau mendapat anak yang sihat. Firman Allah dalam surah al-insyirah yang bermaksud" 5. oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan".

Keyakinan bahawa setiap kesusahan pasti akan berakhir menguatkan semangatku untuk terus melalui setiap ujian Allah.

Keinsafan

Sepanjang anakku berada dalam inkubator, sempat juga aku menjenguk beberapa orang lagi bayi pra matang yang menghadapi masalah berat badan yang jauh lebih ringan dari anakku. Ada yang ketika dilahirkan hanya mempunyai berat badan 1.05 kg. Terasa sayu dihatiku melihat keadaan mereka. Lebih sayu lagi apabila aku dapat peluang menyaksikan ketabahan para ibu yang tidak mengerti penat dan lelah menjaga anak mereka. Ada yang sudah menjangkau 3 bulan berada di wad Neonat. Siang dan malam berusaha menyusu anak mereka. Terkadang terfikir dibenakku bagaimanakah agaknya bayi mereka apabila membesar kelak ? Mungkinkah menjadi manusia yang taat atau sebaliknya. Alangkah besarnya kederhakaan mereka sekira mereka menjadi manusia yang derhaka kepada ibu mereka. Mungkin coretan ini dapat memberi keinsafan kepada ramai para anak yang lupa dan tidak pernah mengenang betapa susahnya para ibu mereka ketika membesarkan mereka.


Ya Allah anugerahkan kepadaku dan isteriku kesabaran

Tidak ada yang mampu dilakukan oleh setiap orang yang bergelar insan apabila diuji melainkan berusaha melaluinya dengan penuh kesabaran. Ingatlah bahawa kesabaran inilah yang memberikan nilai ketaqwaan kita kepada Allah. Wahai para sahabatku doakan kami melalui setiap ujian Allah dengan penuh kesabaran dan keredhaan.


Abuhabib

16 Rabi'ul Awwal 1432H
18 Februari 2011

0 comments:

Post a Comment