Sunday, August 2, 2009

Siri Di Ambang Ramadhan bhgn 2

5. Bagaimana hendak dilakukan

Menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan boleh dilakukan sekurang-kurangnya :

1. Mengikut pendapat Al-Syaukani : Ialah dengan, atau semata-mata sembahyang yang memberi maksud menghidupkan malam dengan beramal malam (Qiamullail).
2. Mengikut pendapat Imam An-Nawawi : Menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan berhasil dengan sembahyang terawih, kerana Qiam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan sembahyang terawih.

6. Sebaik-baik peluang

Tiap-tiap orang mukalaf yang melakukan dosa wajiblah bertaubat segera di dalam bulan Ramadhan dan sebaik-baik peluang untuk bertaubat. Keperluan bertaubat sebagaimana berikut :

• Menyesal daripada pekerjaan dosa yang telah dikerjakan.
• Meninggalkan pekerjaan dosa itu dengan kehendak sendiri.
• Berazam tidak hendak kembali selama-lamanya berbuat dosa.
• Benci kepada perbuatan dosa sebagaimana benci kepada racun.
• Memperbanyakkan beristighfar kepada Allah.

7. Praktik bertaubat

Bertaubat dipraktik atau dilakukan sebagaimana berikut :

1. Menyebut dengan lidah : Iaitu mengaku berlaku zalim dengan menyebut :

رَبِّ , ظَلَمْتُ نَفْسِيْ , وَعَمَلْتُ سُوْءَ فَاغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِي
Maksudnya : Tuhanku, ku telah menzalimi diriku, ku telah melakukan kejahatan, maka ampunilah segala dosaku.

Dan juga dengan beristighfar (menyebut mana-mana Istighfar).

2. Melakukan dengan anggota iaitu berbuat sebarang amalan ketaatan kepada Allah, bersedekah dan jenis-jenis ibadat yang lain.

Mengikut atsar Sahabat cara bertaubat yang lebih kepada mendapat keampunan daripada Allah apabila diikuti dengan lapan amalan, empat daripadanya amalan hati dan empat lagi amalan anggota.

Empat daripada amalan hati :

1. Taubat yang disebatikan dengan azam.
2. Kerelaan hati membuang dosa.
3. Menimbulkan perasaan takut kepada seksa di akhirat.
4. Menaruh harapan mendapat keampunan Allah.

Empat daripada amalan anggota :

1. Sembahyang sunat Taubat dua rakaat.
2. Beristighfar kepada Allah 70 kali (selepas salam).
Dan mengucapkan "سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ"100 kali.
3. Memberi sedekah.
4. Berpuasa satu hari (selain puasa bulan Ramadhan).

(Ihya' Ulumuddin , Juzu' 12, M/s 2145)

Kata Imam Ghazali Rahimahullah, kata setengah hukama' : Sesiapa yang diberi oleh Allah empat perkara nescaya tiada ditegahkan daripada empat perkara :

• Sesiapa yang diberi oleh Allah akan syukur, nescaya tiada ditegahkan tambahan nikmatnya.
• Sesiapa yang diberi oleh Allah akan taubat, nescaya tiada ditegahkan kebajikan.
• Sesiapa yang diberi oleh Allah musyawarah, nescaya tiada ditegahkan kebenarannya.
(Hidayah As-Salikin fi Suluk Maslak Al-Muttaqin m/s 262)

8. Taubat meninggalkan yang fardu

Jika dosa yang berhubung dengan meninggal yang fardu seperti sembahyang, puasa, zakat maka hendaklah segera qadha', bahkan hendaklah diutamakan qadha' yang fardu dari mengerjakan amalan-amalan sunat. Ini berlainan dengan sunat di bulan Ramadhan, kerana sunat terawih yang berpahala besar, juga sunat muakkadah tidak patut ditinggalkan.

9. Taubat dosa yang bersangkut dengan manusia.

- Jika doa itu yang berkaitan dengan harta benda hendaklah dikembalikan kepada empunyanya. Jika yang empunya harta benda itu sudah tiada lagi maka hendaklah harta itu dibuat kebajikan atau disedekahkan dengan meniatkan pahala bagi empunyanya.
- Jika yang berkaitan dengan mengumpat dan mencabuli kehormatan hendaklah minta halalkan dari yang kena umpat dan yang kena cabul.
- Jika dosa membunuh hendaklah menyerahkan diri kepada warisnya yang kena bunuh / minta halalkan.
- Jika dosa meluka / mencedera hendaklah membayar ganti rugi / minta halalkan jika ia masih hidup.

10. Taubat dosa yang bersangkut paut dengan binatang.

Mintalah keampunan dengan Allah, kerana Allah sahaja yang mengampun dan Dialah (Allah) yang menjadikan binatang.

11. Rintihan dalam bertaubat.

Iringilah dalam bertaubat doa rintihan berikut :

اللَّهُمَّ مَغْفِرَتَكَ أَوْسَعُ مِنْ ذُنُوْبِنَا
" Hai Tuhanku ! Keampunan Engkau terlebih luas daripada segala dosa kami"

وَرَحْمَتَكَ أَرْجَى عِنْدَنَا مِنْ أَعْمَالِنَا
" Dan rahmat Engkau dan kasihan Engkau lebih besar daripada harapan kami kepada amalan kami"

وَكَرَمَكَ وَجُوْدَكَ مَسْبُوْلٌ عَلَيْنَا وَعَلَى الْمُذْنِبِيْنَ
" Dan kemuliaan Engkau dan kemurahan Engkau terlepas dan terhampar ke atas kami dan ke atas hamba Engkau yang berdosa"

12. Contoh istighfar Nabi SAW.

الّلَهُمّ اغْفِرْ لِي خَطِيْئَتِي وَجَهْلِي. وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي. وَمَا أَنَتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي. الّلَهُمَّ اغْفِرْ لِي هَزْلِي وَجِدِّي. وَخَطَئِي وعَمْدِي. وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي. الّلَهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ. وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ. وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ. وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Ya Allah ! Ampunilah daku kesalahanku, kejahilanku dan perbuatanku yang melampau-lampau, dalam urusanku, dan perkara yang Engkau lebih tahu daripadaku. Ya Allah ! Ampunilah daku sendaanku, kesungguhanku, salahku dan sengajaku, semuanya itu dariku. Ya Allah ! Ampunilah daku dosaku yang telah kulakukan dahulu dan yang akan kulakukan kemudian, dosaku yang tersembunyi dan yang nyata padaku dan dosa yang Engkau lebih mengetahui dariku. Engkaulah yang terdahulu dan Engkaulah yang terakhir. Engkaulah ya Allah, berkuasa ke atas segala sesuatu.

13. Doa menyambut ketibaan bulan Ramadhan

اللّهُمَّ أَهْلِهُ عَلَيْنَا بالأَمْنِ وَإِلايمَانِ والسَّلاَمَةِ وَالإِسْلاَمِ وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى. رَبُّنَا ورَبُّكَ اللهُ
Maksudnya : Ya Allah ! Jadikanlah kedatangan (Ramadhan) ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, menyerah diri (dengan agama Islam) dan mendapat taufik bagi perkara yang Engkau suka dan Engkau redha. Tuhan kami dan Tuhan engkau (bulan) ialah Allah.

14. Ucapan setelah di isytihar puasa bulan Ramadhan.

هِلاَلٌ خَيْرٍ وَرُشْدٍ آمَنْتُ بالّذِيْ خَلَقَكَ
Maksudnya: Anak bulan kebajikan dan anak bulan petunjuk, ku beriman dengan Engkau (Allah) yang telah jadikan.

15. Lafaz niat puasa Ramadhan.

نَوْيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءٍ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah taala.

16. Doa berbuka puasa.

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
Maksudnya : Ya Allah untuk-Mu ku berpuasa dan atas rezeki-Mu ku berbuka.

Bersambung ...

0 comments:

Post a Comment